Teh Proclamation.

Hati Waja. Tendangan Tanpa Bayang. Syahdan. Sompet. Nostalgia, nostalgia.

Teh Herd.

26 March 2011

Warkah Kanda Kepada Adinda

In 3 characters 
Ke hadapan adinda [masukkan nama] yang tersayang,

andaikata dinda membaca warkah ini di blok mahupun fesbuk kanda, ketahuilah bahawasanya kanda telah selamat sampai di bumi Malaka. Malaka ini indah-indah belaka dan langsung tiada orang ramai yang berbuat celaka, benarlah kata orang-orang kampung kita yang pernah berkunjung ke negeri ini. Jangalah dinda terkejut dengan kehadiran warkah ini secara tiba tiba, kerana, kanda hanyalah menggunakan kecanggehan teknologi untuk mengposkan warkah ini secara otomatik di laman sesawang blok kanda yang telah kanda siap-siap tuliskan dari malam tadi. Kanda tak mahu menulis surat menggunakan dakwat dan kertas kerana nescaya jika kanda simpan warkah ini di bawah tilam sememangnya niayalah kertas itu dinda renyuk-renyukkan dengan keringanan dinda tatkala dinda beradu sentiasa tidak tetap punggung di malam hari. Tetapi demi menjaga hati dinda maka kanda katakan bahawa sebenarnya tulisan kanda amatlah buruk rupanya, kalah rupa paras dinda. Tetapi hampir-hampir seri.

Dinda,

perkunjungan kanda ke negeri ini hanyalah kerana membawa semangat pendekar. Pendekar sebenar pendekar, pendekar bujang tapi bukan lapok mahupun bapuk. Ya, bujang. Maafkan kanda, kanda hanya dapat menyatakan hasrat yang berat seberat dinda ini melalui warkah yang tidak seberapa ini. Jangalah dinda menyangkakan bahawa kanda bersikap pengecut, kerana pendekar seperti kanda tidak mempunyai sifat itu. Bahkan maksud pengecut itu juga tidak kanda ketahui, itulah sebabnya kanda hampir gagal subjek bahasa Melayu semasa SPM dahulu. Kanda telah memutuskan untuk meninggalkan dinda tersayang bersempena dengan pemergian kanda kali ini, satu keputusan yang tidak mudah untuk kanda putuskan kerana tak nampak mana benang yang boleh kanda putuskan.

Adinda sayangku,

sebenarnya kanda meninggalkan dinda kerana kanda tidak boleh melepaskan peluang di Malaka ini. Di negeri ini ramai gadis-gadis yang cantik rupa parasnya, ramai juga srikandi-srikandi dari serata Tanah Melayu yang berkunjung bersempena dengan acara pada hari ini. Para pendekar berkumpul beramai-ramai pada hari ini demi menunjukkan kehandalan masing-masing, demi memikat hati wasit dan juga anak-anak perempuan mereka. Kanda tidak boleh melepaskan peluang ini, kerana sudah semestinya jatuhlah saham kanda jika kanda menyatakan bahawa kanda sudah beristri. Kanda ingin bergambar secara tergedik-gedik dengan gadis-gadis tersebut, menyatakan rasa cinta kanda pada mereka pula. Andaikata dinda ingin melihat gambar-gambar tersebut, bukalah dinding fesbuk kanda sudah pastinya banyak gambar yang ditag, merakamkan saat-saat bahagia kanda di sana. Boleh dijadikan sebagai pemanas hati terbaik tatkala dinda kedinginan di malam hari.

[Masukkan gelaran yang geli-geli],

kanda berharap agar dinda dapat menerima warkah ini dengan hati dan mata yang terbuka, kerana jika dinda menutup mata tidak dapatlah dinda membaca warkah ini. Kanda tidak mempunyai uwang untuk menulis surat secara braille, telah habis kanda belanjakan keatas gadis-gadis negeri ini. Kanda ingin menyatakan rasa terima kasih dinda kerana sanggup menerima kanda sebagai suami selama ini, dindalah orang gaji ooppss istri terbaik selain daripada istri-istri kanda sebelum ini ooppss terkantoi lagi yang kanda pernah berkahwin sebelum ini. So what the hell, ya dinda adalah bekas istri kanda yang ke-8. Berbanggalah kerana orang-orang Cina mengatakan bahawa nombor 8 itu ialah nombor bertuah. Manalah tahu dinda boleh memenangi loteri selepas ini. Sekiranya dinda menang kirim-kirimkanlah kepada kanda ya, jangan jadi bini tak kenang budi.

Hoi [masukkan nama],

sampai sini jelah aq tulis. Dah penat, mata ngantuk sebab henjoi gile-gile tadi. Doakan aq menang kat pertandingan wajadiri ni. Dah-dah, bai.

p/s : Sekadar warkah mengarut, saja-saja tidak ada kena mengena dengan yang mati mahupun yang tengah nyawa-nyawa ikan. Artikel mengarut bersempena dengan Kejohanan Wajadiri Nasional UTeM 2011 PSSCPUHM. Sekian...

p/s 2 : Doakan aq yaaa sapa-sapa yang terbaca. Heheheh.

2 comments:

Dino morales said...

aku tak puas hati...hahahaha

Ikazrima said...

ape yg ko xpuas der? haha