Teh Proclamation.

Hati Waja. Tendangan Tanpa Bayang. Syahdan. Sompet. Nostalgia, nostalgia.

Teh Herd.

11 November 2010

Kenapa Saya Pilih Bersedih

In 3 characters 

Tiada KIASAN pada posting yang ini, terpulang mahu baca atau tidak.

Maka disini apa yang akan saya sentuh adalah peristiwa berkaitan dengan separuh pertama tahun ini, permulaan saya memegang jawatan sebagai ketua kepada satu keluarga @ persatuan. Disebakan tempoh penyandangan jawatan saya hampir tamat dalam beberapa hari lagi maka saya bukakan cerita sebenarnya di sini.

Ini adalah pengakuan tulus dan ikhlas dari diri saya, bahawa sebenarnya tidak ingin dan tidak sanggup bagi saya untuk mengambil alih tampuk pemerintahan apabila saya ditawarkan untuk memegang tanggungjawab ini. Berhari-harilah maka saya fikirkan sebelum akur dengan amanah yang diberi. Saya mempunyai alasan yang kuat mengapa saya merasakan bahawa tanggungjawab ini tidak layak saya pegang. Berkali-kali sudah saya bincangkan dengan seorang lagi yang pada pandangan saya adalah lebih layak memipin persatuan. Bermacam-macam alasan yang telah saya beri bagi menyerahkan jawatan ini kepadanya, tetapi akhirnya perkara ini tetap berdolak-dalik. Biarlah saya lampirkan sebab-musabab kenapa saya menolak sekeras-kerasnya jawatan ini :-

  • 1. Pertamanya saya tidak mempunyai ciri kepimpinan yang baik. Sebarang keputusan yang saya buat tidak pernah dapat memuaskan majoriti orang yang terlibat. Pernah juga terjadi bila saya dilantik sebagai ketua sebelum ini, tetapi ianya hanya sekadar pada nama. Tiada pun yang mengikut arahan yang saya keluarkan.
  • 2. Keduanya kerana saya tiada skil komunikasi secara formal di hadapan khalayak ramai. Memang kelemahan sejak kecil, sentiasa gagap apabila berbicara mengenai sesuatu perkara serius secara terbuka di hadapan orang ramai. Tetapi jika berhadapan secara berseorang perkara ini jarang menjadi masalah kecuali beberapa situasi. Saya turut menyatakan kelemahan ini dihadapan barisan jawatankuasa yang baru dan penasihat persatuan setelah saya dilantik di dalam satu mesyuarat khas.
  • 3. Ketiga ialah kerana saya ini jenis mulut bercakap lepas. Memang telah ramai yang lari dari saya kerana tidak tahan dengan kritikan dan teguran yang tidak lansung saya tapis. Saya memikirikan tidak ada gunanya ahli-ahli mempunyai seorang ketua yang mereka akan benci.
  • 4. Keempat ialah kerana terdapat seseorang yang lebih layak memegang jawatan ini.

Tetapi disebabkan rasa tanggungjawab dan sayangkan persatuan ini maka saya akur jua menerima. Maka bermulalah satu lembaran baru dalam hidup saya apabila saya bertanggungjawab memimpin satu persatuan yang besar kredibilitinya.

Saya memang serius dan garang apabila menjadi ketua di dalam sesuatu kumpulan. Kerana prinsip saya ialah jika ingin berkerja di bawah pimpinan saya, maka apa yang jangka dan inginkan hanya kerja yang terbaik. Saya amalkan prinsip ini apabila saya mengambil alih persatuan, dan memang sebenarnya sudah saya jangkakan bahawa lebih ramai yang membenci daripada menyukai. Tidak perlu mereka nyatakan kerana jelas terpampang pada riak muka dan perlakuan apabila berhadapan dengan saya. Maka hiduplah saya bersendirian di atas bertemankan beberapa kerat mantan ahli jawatankuasa yang tinggal dan juga penasihat persatuan.

Masalah pertama yang saya sedar mengenai ahli jawatankuasa yang baru ini ialah tiada ikatan silaturrahim yang kukuh di antara mereka semua. Lebih kurang hidup berpuak-puak. Dasar saya dalam berpersatuan sebelum ini ialah hubungan antara ahli haruslah akrab dan tidak boleh bermusuhan sesama mereka. Kerana yang menghancurkan sebarang organisasi atau negara adalah kerana ahlinya yang hidup berpecah belah. Sejarah menyebelahi pendirian saya ini.

Tindakan yang saya ambil bagi mengatasi perkara ini ialah dengan paksa wajib. Saya mewajibkan kesemua ahli silat tidak kira peringkat untuk mengikuti segala aktiviti yang persatuan anjurkan. Memang ramai yang menentang penegasan saya ini kerana kadang-kadang aktiviti-aktiviti memerlukan ahli untuk mengeluarkan wang perbelanjaan mereka. Tetapi saya keraskan hati, apa saya peduli. Segala benda yang kita mahukan perlukan pengorbanan.

Saya sentiasa memarahi mereka apabila berlaku kesilapan-kesilapan dalam melakukan tugas yang saya fikir tidak patut terjadi. Salah tetap salah, maka marah tetap saya marah. Nak benci maka bencilah, kamu sahaja belum dapat melihat mengapa saya bertindak sedemikian.

Di dalam satu mesyuarat tergempar yang diadakan kerana perjalanan suatu program besar menjadi tunggang langgang, maka saya secara berhadapan dengan kesemua ahli melantangkan suara dan menegur secara ‘tajam’ setiap ahli yang berada di dalam bilik mesyuarat pada malam tersebut. Sebab itu saya tidak suka marah, kerana ada yang sampai menangis walaupun suara saya lansung tidak saya tinggikan. Maka bertambah-tambahlah suara-suara sumbang yang saya dengar mengenai cara saya memimpin persatuan. Pada malam itu juga saya nyatakan pendirian saya agar mereka semua berbaik-baik sesama sendiri. Jika tidak suka cara saya maka bencilah, tetapi jangan kamu tarik ahli yang lain sekali. Berpakatlah diantara kamu semua, walaupun saya seorang kamu ketepikan. Itulah isi yang saya ucapkan pada mereka pada malam itu. Maka inilah sebenarnya kesedihan yang saya pilih.

Tetapi kenapa saya memilih kesedihan ini? Sebab saya menyedari bahawa saya tidak berupaya menjaga hati kesemua ahli, walaupun itu yang saya inginkan. Maka saya memilih untuk diketepikan oleh kamu semua demi mencapai penyatuan di antara ahli yang lain. Berkesan? Memang berkesan, sehingga menimbulkan kesan tidak terhingga pada perasaan ini. Tuhan sahaja yang tahu azab yang ditanggung, betapa pedihnya pengorbanan ini demi mencapai sesuatu yang lebih baik.

Berkat kesabaran dan dorongan mereka yang mengetahu kisah sebenar, maka akhirnya pada penggal kedua saya memegang jawatan saya dapat melihat perubahan ketara pada persatuan. Perubahan kepada sesuatu yang lebih baik.

Maka saya mimilih bersedih hanyalah diperjalanan, kerana saya tahu dan yakin bahawa pengakhirannya adalah kegembiraan yang berkekalan. InsyaAllah.

Salam.

No comments: