Teh Proclamation.

Hati Waja. Tendangan Tanpa Bayang. Syahdan. Sompet. Nostalgia, nostalgia.

Teh Herd.

11 November 2010

Kenapa Saya…? : Menjawab Segala Pertanyaan

In 3 characters 
0 orang tak puas hati.

Sama juga kali ini, TIADA KIASAN. Di posting kali ini saya memutuskan untuk menjawab seberapa banyak pertanyaan yang pernah disuarakan oleh kamu sebelum ini. Saya akan cuba jawab seringkas yang mungkin tanpa meninggalkan isi-isi yang penting.

Kenapa saya tuntut kebenaran?

- Kerana saya anti dengan mereka yang menipu diri ini hanya semata-mata ingin menjaga hati. Rasa sebagai satu penghinaan apabila kamu menyorokkan perkara sebenar apabila saya bertanya sesuatu.

Kenapa saya berkias?

- Maka telah saya jawab di sini.

Kenapa saya lari?

- Saya jenis yang sangat sukar melupakan sesuatu atau seseorang. Sebab saya lari ialah kerana saya perlu untuk bersama penyembuh yang terbaik, iaitu masa. Tidak saya suruh dan minta kamu pujuk jika saya bersedih hati, saya lebih suka menjauhkan diri dan bersorangan memikirkan sebab dan musabab ianya berlaku. Masa yang saya perlukan? Sebelum ini paling sekejap setahun, paling lama ialah 4 tahun. Maka jangan ditanyakan samada saya sudah dapat melupakan atau tidak, kerana ianya sangat menyinggung perasaan.

Kenapa saya pilih kesedihan atas kemarahan?

- Kesedihan menguatkan pendirian dan membina kecekalan hati saya. Kesedihan juga mengingatkan saya bahawa saya ini masih seorang manusia, berbanding dengan kemarahan yang sumbernya adalah dari syaitan dan hawa nafsu. Kesedihan juga membolehkan saya berfikir dengan tenang, kemarahan hanya mendatangkan keputusan yang pasti berat sebelah. Link kepada satu cerita yang berkaitan soalan ini.

Kenapa saya pegang perjanjian?

- Kerana saya benci dengan mereka yang bersifat pura-pura dan hipokrit, yang suka melanggar kata-kata mereka sendiri. Saya pegang perjanjian di bahagian saya kerana saya tahu betapa peritnya diri kamu jika saya tidak tunaikannya, walaupun saya nyatakannya dalam mesej khidmat pesanan ringkas. Ada satu janji pada semester 1 yang saya katakan saya akan tunaikan pada semester 5, tetapi nampaknya orang tersebut sudah tidak inginkan lagi.

Kenapa saya pilih untuk menunggu?

- Sebelum ini hampir segala yang saya inginkan maka harus saya tunggu dengan lama, sehingga makan bertahun-tahun barulah saya berjaya mendapatkannya. Apa yang kita inginkan maka tidak sesenang itu ianya diperolehi, haruslah bersabar jika betul-betul inginkannya. ‘Easy come, easy go’.

Kenapa saya pilih untuk menunggu dalam perjanjian?

- Saya mengambil pendirian bahawa jika kamu bukan dari golongan munafik, maka pasti kamu akan menunaikan janji kamu terhadap saya. Saya tidak kisah menunggu seberapa lama, asalkan kamu memegang perjanjian diri kamu. Saya pernah mengikat janji dengan seorang pada permulaan semester 3, selepas 1 tahun setengah iaitu pada pengakhiran semester ini (semester 5) barulah perjanjian itu ditunaikan. Itulah sebab saya rela menunggu walau seberapa lama pun.

Kenapa saya senstif dengan perjanjian berkaitan masa?

- Saya lebih rela menunggu kamu dari kamu menunggu saya. Saya tahu menunggu itu memeritkan, maka biarlah saya yang tanggung keperitan itu. Apabila kamu meminta saya agar berada di satu-satu tempat pada waktu yang dijanjikan, maka insyaAllah jika tiada apa-apa gangguan dan penghalang maka saya akan tiba tepat pada waktunya. Paling lambat pun dalam 5 hingga 10 minit sahaja saya akan terlewat, itupun jika timbul faktor-faktor luaran.

Kenapa saya bertanya?

- Saya inginkan pemahaman, bukan sekadar suka-suka.

Kenapa saya berdiam?

- Kerana saya menyampaikan melalui isyarat badan dan penulisan, dan saya harapkan kamu faham. Jika kesedihan saya melebihi had yang boleh ditanggung maka juga saya akan terdiam. Sebenarnya jika saya berdiam maka kamu sedang berhadapan dengan diri saya pada masa lalu.

Kenapa saya sukar meminta hutang?

- Sebab saya tidak mengetahui situasi kewangan kamu, dan saya merasa malu untuk menuntut walaupun ianya hak saya. Saya segan untuk mengingatkan jika kamu terlupa. Sebab itulah saya menyampaikan hasrat saya secara berbunga-bunga melalui orang lain kepada kamu.

Maka sampai sini sahaja dahulu. Ada masa saya jawab lagi pertanyaan dari kamu. Salam.

Kenapa Saya Pilih Bersedih

In 3 characters 
0 orang tak puas hati.

Tiada KIASAN pada posting yang ini, terpulang mahu baca atau tidak.

Maka disini apa yang akan saya sentuh adalah peristiwa berkaitan dengan separuh pertama tahun ini, permulaan saya memegang jawatan sebagai ketua kepada satu keluarga @ persatuan. Disebakan tempoh penyandangan jawatan saya hampir tamat dalam beberapa hari lagi maka saya bukakan cerita sebenarnya di sini.

Ini adalah pengakuan tulus dan ikhlas dari diri saya, bahawa sebenarnya tidak ingin dan tidak sanggup bagi saya untuk mengambil alih tampuk pemerintahan apabila saya ditawarkan untuk memegang tanggungjawab ini. Berhari-harilah maka saya fikirkan sebelum akur dengan amanah yang diberi. Saya mempunyai alasan yang kuat mengapa saya merasakan bahawa tanggungjawab ini tidak layak saya pegang. Berkali-kali sudah saya bincangkan dengan seorang lagi yang pada pandangan saya adalah lebih layak memipin persatuan. Bermacam-macam alasan yang telah saya beri bagi menyerahkan jawatan ini kepadanya, tetapi akhirnya perkara ini tetap berdolak-dalik. Biarlah saya lampirkan sebab-musabab kenapa saya menolak sekeras-kerasnya jawatan ini :-

  • 1. Pertamanya saya tidak mempunyai ciri kepimpinan yang baik. Sebarang keputusan yang saya buat tidak pernah dapat memuaskan majoriti orang yang terlibat. Pernah juga terjadi bila saya dilantik sebagai ketua sebelum ini, tetapi ianya hanya sekadar pada nama. Tiada pun yang mengikut arahan yang saya keluarkan.
  • 2. Keduanya kerana saya tiada skil komunikasi secara formal di hadapan khalayak ramai. Memang kelemahan sejak kecil, sentiasa gagap apabila berbicara mengenai sesuatu perkara serius secara terbuka di hadapan orang ramai. Tetapi jika berhadapan secara berseorang perkara ini jarang menjadi masalah kecuali beberapa situasi. Saya turut menyatakan kelemahan ini dihadapan barisan jawatankuasa yang baru dan penasihat persatuan setelah saya dilantik di dalam satu mesyuarat khas.
  • 3. Ketiga ialah kerana saya ini jenis mulut bercakap lepas. Memang telah ramai yang lari dari saya kerana tidak tahan dengan kritikan dan teguran yang tidak lansung saya tapis. Saya memikirikan tidak ada gunanya ahli-ahli mempunyai seorang ketua yang mereka akan benci.
  • 4. Keempat ialah kerana terdapat seseorang yang lebih layak memegang jawatan ini.

Tetapi disebabkan rasa tanggungjawab dan sayangkan persatuan ini maka saya akur jua menerima. Maka bermulalah satu lembaran baru dalam hidup saya apabila saya bertanggungjawab memimpin satu persatuan yang besar kredibilitinya.

Saya memang serius dan garang apabila menjadi ketua di dalam sesuatu kumpulan. Kerana prinsip saya ialah jika ingin berkerja di bawah pimpinan saya, maka apa yang jangka dan inginkan hanya kerja yang terbaik. Saya amalkan prinsip ini apabila saya mengambil alih persatuan, dan memang sebenarnya sudah saya jangkakan bahawa lebih ramai yang membenci daripada menyukai. Tidak perlu mereka nyatakan kerana jelas terpampang pada riak muka dan perlakuan apabila berhadapan dengan saya. Maka hiduplah saya bersendirian di atas bertemankan beberapa kerat mantan ahli jawatankuasa yang tinggal dan juga penasihat persatuan.

Masalah pertama yang saya sedar mengenai ahli jawatankuasa yang baru ini ialah tiada ikatan silaturrahim yang kukuh di antara mereka semua. Lebih kurang hidup berpuak-puak. Dasar saya dalam berpersatuan sebelum ini ialah hubungan antara ahli haruslah akrab dan tidak boleh bermusuhan sesama mereka. Kerana yang menghancurkan sebarang organisasi atau negara adalah kerana ahlinya yang hidup berpecah belah. Sejarah menyebelahi pendirian saya ini.

Tindakan yang saya ambil bagi mengatasi perkara ini ialah dengan paksa wajib. Saya mewajibkan kesemua ahli silat tidak kira peringkat untuk mengikuti segala aktiviti yang persatuan anjurkan. Memang ramai yang menentang penegasan saya ini kerana kadang-kadang aktiviti-aktiviti memerlukan ahli untuk mengeluarkan wang perbelanjaan mereka. Tetapi saya keraskan hati, apa saya peduli. Segala benda yang kita mahukan perlukan pengorbanan.

Saya sentiasa memarahi mereka apabila berlaku kesilapan-kesilapan dalam melakukan tugas yang saya fikir tidak patut terjadi. Salah tetap salah, maka marah tetap saya marah. Nak benci maka bencilah, kamu sahaja belum dapat melihat mengapa saya bertindak sedemikian.

Di dalam satu mesyuarat tergempar yang diadakan kerana perjalanan suatu program besar menjadi tunggang langgang, maka saya secara berhadapan dengan kesemua ahli melantangkan suara dan menegur secara ‘tajam’ setiap ahli yang berada di dalam bilik mesyuarat pada malam tersebut. Sebab itu saya tidak suka marah, kerana ada yang sampai menangis walaupun suara saya lansung tidak saya tinggikan. Maka bertambah-tambahlah suara-suara sumbang yang saya dengar mengenai cara saya memimpin persatuan. Pada malam itu juga saya nyatakan pendirian saya agar mereka semua berbaik-baik sesama sendiri. Jika tidak suka cara saya maka bencilah, tetapi jangan kamu tarik ahli yang lain sekali. Berpakatlah diantara kamu semua, walaupun saya seorang kamu ketepikan. Itulah isi yang saya ucapkan pada mereka pada malam itu. Maka inilah sebenarnya kesedihan yang saya pilih.

Tetapi kenapa saya memilih kesedihan ini? Sebab saya menyedari bahawa saya tidak berupaya menjaga hati kesemua ahli, walaupun itu yang saya inginkan. Maka saya memilih untuk diketepikan oleh kamu semua demi mencapai penyatuan di antara ahli yang lain. Berkesan? Memang berkesan, sehingga menimbulkan kesan tidak terhingga pada perasaan ini. Tuhan sahaja yang tahu azab yang ditanggung, betapa pedihnya pengorbanan ini demi mencapai sesuatu yang lebih baik.

Berkat kesabaran dan dorongan mereka yang mengetahu kisah sebenar, maka akhirnya pada penggal kedua saya memegang jawatan saya dapat melihat perubahan ketara pada persatuan. Perubahan kepada sesuatu yang lebih baik.

Maka saya mimilih bersedih hanyalah diperjalanan, kerana saya tahu dan yakin bahawa pengakhirannya adalah kegembiraan yang berkekalan. InsyaAllah.

Salam.

09 November 2010

Tahun 2006

In 3 characters 
0 orang tak puas hati.

Seolah-olah sejarah yang pernah berlaku pada tahun 2006 terjadi lagi pada tahun 2010 ini. Dilihat rentetan peristiwa juga seakan-akan sama. Jika dulu ianya bermula pada awal tahun, nampaknya kali ini serupa juga.

Jika dahulu diberi peluang untuk pergi tetapi berpatah kembali, kali ini hendak pergi tetapi seakan dihalang. Disebabkannya maka ‘sesuatu’ itu pernah ‘hilang’ pada ketika itu, dan juga ‘hilang’ sekali lagi pada tahun ini. Hidup pada tahun itu hilang arah tujuan, kali ini juga arah itu hampir ditidakkan. Maka terlahirlah satu sifat yang menjadi ‘buruan’ ramai pada tahun tersebut; dan kali ini pula tahniah, kamu semua hampir terjumpa dengan diri yang satu lagi itu.

Disebabkan satu keputusan untuk tidak pergi maka bertukarlah pandangan semua terhadap ini, dan tekanan yang datang tiada henti. Maka berlakulah perubahan sifat 180 darjah yang lagi banyak buruk dari baiknya. Selepas itu seolah-olah terputus hubungan dengan pertalian darah dan golongan yang memberi ilmu. Dahulu peristiwa gelap cuba diatasi dengan ditidakkan emosi dan perasaan sendiri, dan tahun ini entah kenapa terkeluar kembali tetapi tidak menjadi. Tetapi masyaAllah, dugaan dan godaan yang datang makin bertimpa-timpa. Disukai sebelah pihak tetapi mengecewakan mereka yang pernah menaruh harapan.

Itulah sebabnya kadang-kadang takut berada dipuncak, kerana berada diatas tidak pernah kekal lama. Dimulakan dengan paling tinggi maka jatuh pun mendadak seolah-olah tiada henti. Tidak suka kamu menaruh sesuatu keatas diri ini, kerana seolah-olah disumpah untuk mengecewakan kamu walau apa-apa sekalipun yang kamu mahukan dari diri ini. Agaknya memang ditakdirkan untuk hidup bersendiri. Tetapi tahu bahawa semuanya berpunca dari diri ini. Diri yang tidak tertampung sesuatu yang datang bertubi-tubi. Dahulu tidak tertanggung sehingga berkali-kali ingin mencabut nyawa yang diberi, penghalang hanyalah diri-Nya yang memberi. Syukur tidak mengambil tiket perjalanan pulang yang tiada kembali.

Maka dapat menyelamatkan diri pada ketika dahulu apabila mengambil pendirian mengeraskan hati. Itu sahaja tidak memadai, maka ‘diputuskan’ segala perhubungan dengan kamu semua dan hanya mengambil pendirian untuk mengambil kembali keluarga yang pernah ditinggalkan. Tersangatlah perit, tetapi tetap ditelan juga. Dipertengahan jalan telah dipertemukan dengan sesuatu yang berharga, dengan itu dapatlah sebahagian daripada diri ini diselematkan daripada terus berada dalam kesesatan yang nyata. Kesesatan yang macam mana? Maaf, itu sahaja yang tidak sanggup dan tidak mungkin akan diceritakan. Lebih baik dipendam daripada disebarkan.

Kali ini yang berbeza hanyalah puncanya. Dan juga aku berdoa bahawa pengakhirannya juga berbeza.

Ya Allah ya Rahman ya Rahim, diri ini sudah hampir hilang punca pemikiran, maka selamatkanlah diri ini daripada terus dihanyutkan arus dosa. Kau kembalikanlah kewarasan akal fikiran ku, dan bantulah aku mengahadapi segala rintangan ini ya Allah. Amin, amin, ya rabalalamin.

06 November 2010

Kenyataan Dari Kamu

In 3 characters 
0 orang tak puas hati.

Entah kenapa terlebih rajin pula kali ini, 3 kali ‘posting’ dalam 7 hari. Mungkin terlampau banyak yang tersimpan di sanubari, dah terluah tetapi seolah-olah tidak didengari. Post kali ini pendek sahaja, kerana apa yang hendak disampaikan sangat jelas.

Bertanggungjawablah terhadapat apa yang kamu nyatakan, tidak kiralah melalui kata-kata, tulisan, mahupun bahasa badan. Janganlah anggap ianya kecil, kamu mungkin sudah tidak ingat tetapi jangan disangka yang lain juga begitu.

Bagaimana kamu senang-senang sahaja melupakan apa yang kamu nyatakan? Katakanlah perkara yang sebenar sahaja, dan yang kamu betul-betul ingin maksudkan. Saya hanya mampu terdiam dan terkedu apabila apa yang kamu zahirkan semasa berhadapan berlainan dengan apa yang kamu nyatakan.

Sebab itulah saya memegang janji, walaupun saya tidak nyatakannya secara berhadapan. Selagi mampu maka saya tunaikan.

Cukup setakat ini, sudah jelas dengan sejelas-jelasnya saya nyatakan. Salam.

01 November 2010

Kenapa Berkias?

In 3 characters 
0 orang tak puas hati.

Kerana diri ini berdarah orang Melayu walaupun bukan dari tanah kepunyaan orang Melayu, sekadar ‘dieksport’ ke sini.

Secara serius, benda ini baru. Tidak sampai pun 2 tahun. Gara-gara pengaruh seseorang yang ‘jauh’, yang hanya dikenali secara satu hala. Alhamdulillah, berjumpa juga dengannya setelah dicari selama ini pada tarikh keramat yang angka ‘10’nya diulang-ulang 3 kali. Walaupun pertemuan jarak jauh, hati tetap puas. Sekurang-kurangnya tahu orangnya ada. Tidak pernah berkomunikasi, tetapi pemahamannya sampai ke diri ini. ‘Bagaimana'’ itu kamu cari sendiri.

Tetapi kenapalah diri ini sangat suka memilih untuk berkias?

  1. Kerana kamu tidak akan tertahan dengan jawapan dan persoalan yang ditimbulkan secara ‘terus’. Ramai yang kecundang pada ayat yang pertama lagi. Padahal sudah diingatkan, tidak bersedia maka jangan diminta. Jika sudah maka persiap-sediakan telinga, keraskan jiwa. Nak tahu maka mesti menerima.
  2. Kerana jika kamu faham maka sesungguhnya maksud yang disampaikan sangat mendalam. Sekurang-kurangnya diri ini memupuk kamu agar berfikir tentang sebab dan akibat. Jika kamu dapat memahami kiasan yang disampaikan, tidak kiralah secara percakapan, penulisan, mahupun bahasa badan, sesungguhnya kamu sudah boleh menangkap dan menyelami gaya pemikiran dan rasional diri ini. Sebenarnya ingin kamu mengenali diri ini secara keseluruhan. Jika faham, alhamdulillah. Jika tidak faham, cubalah lagi. Tahniah, kita sudah boleh saling memahami.
  3. Kerana Rasulullah S.A.W. juga menegur secara berkias.
  4. Sekadar membuatkan kamu pening (dalam konteks gurauan sahaja)

Kesemua poin yang dinyatakan (kecuali yang ke-4) adalah sebab utama mengapa diri ini tidak suka bercakap secara ‘terus’ tentang apa yang ingin disampaikan. Tidak ramai yang boleh memahami. Tetapi jika dapat, maka ketahuilah diri ini akan bersama kamu selagi mampu.

Sekian, tidak panjang penulisan yang ini. Ada masa maka akan menulis lagi. Sekian.