Teh Proclamation.

Hati Waja. Tendangan Tanpa Bayang. Syahdan. Sompet. Nostalgia, nostalgia.

Teh Herd.

06 August 2010

Benar Tapi Tipu

In 3 characters 
Sudah sebulan lebih tiada posting yang baru. Bukan kerana tiada apa-apa yang hendak ditulis, tapi kerana ketiadaan kemudahan internet di rumah. Posting yang lalu? Disorokkan sebentar sementara pengemaskinian blog ini.

Apa pula yang hendak diluahkan di sini pada kali ini? Masalah yang timbul semasa antara-sesi timbul kembali. Minat pada pelajaran hilang sekali lagi. Sudah dua minggu tapi tak pernah reda walaupun sekali. Kali ini timbul pula masalah yang boleh menggugat aqidah sendiri. Datangnya diawal pagi sebelum Subuh lagi. Dugaannya besar tidak terperi. Hanya mampu menjadi selemah-lemah iman benci di hati. Berlindung diri hanya kepada Tuhan yang hakiki.

Tapi lagak diri masih 'cool and steady'. Ditafsir orang seperti tiada apa-apa yang tersirat di dalam hati. Padahal pemikiran sudah jauh berlari. Silat Cekaklah penawar diri. Ahli Cekaklah yang menjadi keluarga tiri. Tapi keluarga tiri yang memahami. Melihat mereka berpenat lelah dan bergembira menghilangkan segala kecelaruan di hati. Istilah yang diberi mereka membawa maksud kepada sebagai seorang bapa, bukan ketua mahupun presiden yang harus ditaati. Itulah sebabnya ahli-ahli boleh menjadi rapat, kerana perhubungan kekeluargaan yang dipupuk bukan perpaduan organisasi. Maaf, posting kali ini bukanlah berkenaan Silat Cekak Hanafi.

Tapi mengenai kebenaran yang dijadikan penipuan.

Pernah terjadi diri ini selalu menyatakan tentang satu sifat diri sendiri. Berkata mengenainya bukan sekali tapi berkali-kali. Yang mendengarnya pun sudah muak. Tapi rupanya muak yang menjerumus kepada tidak mempercayai. Kita sangka menyatakan yang sebenarnya lebih mudah untuk orang menerima. Rupanya tidak. Beberapa lama selepas itu mereka mempersoalkan diri ini kepada seorang yang lain, dan orang itu pun memberikan jawapannya. Salah seorang daripada mereka kemudian menceritakan apa yang dirinya diceritakan kepada diri ini. Maka diri ini hanya mampu menggelengkan kepala tidak mempercayai. Tidak guna rupanya kita bercakap panjang lebar sebelum ini, mereka tetap akan mempercayai penafsiran dari orang lain lebih dari kita, walaupun jawapannya seratus peratus sama dan serupa.

Inilah sebabnya kadang-kadang malas nak menyatakan kebenaran. Orang tetap tidak terima. Kita kata lain dia tetap mempercayai yang lain. Kita nyatakan sebabnya ini dia tetap menyatakan sebabnya yang itu. Padahal kita sendiri yang lebih tahu mengenai diri sendiri. Penyataan kebenaran berulang-ulang kali tapi pulangannya kosong. Kadang-kadang saja menyatakan penipuan, kerana ingin melihat reaksi mereka. Senang sahaja mereka menerimanya tanpa persoalan. Penipuan itulah yang dianggap kebenaran. Inilah yang dikatakan bahawa dunia sudah terbalik. Putih itu gelap dan hitam itu terang.

Maka penulis ingin bertanyakan di ruangan yang tidak seberapa ini, adakah perlunya diri ini membawa kebenaran lagi? Kerana orang lain tetap mempertahankan yang bathil dari yang hak. Kamu mengetahui tapi kamu berlagak seolah-olah tidak mengetahui. Keinginan kamu itulah kebenaran bagi kamu. Dan itu jugalah yang kamu sebarkan. Diri ini sudah terperangkap. Bercakap benar tidak dipercayai, menyakan penipuan demi menjaga hati melanggar pegangan dan prinsip diri. Sudah tiba di jalan mati. Mustahil berpatah balik kerana kehidupan ini jalan sehala.

Posting kali ini pendek sahaja, masa tidak mengizinkan. Sekian setakat ini, ada masa kita sambung lagi.

No comments: