Teh Proclamation.

Hati Waja. Tendangan Tanpa Bayang. Syahdan. Sompet. Nostalgia, nostalgia.

Teh Herd.

09 May 2010

Nilai Sepatah Ayat

In 3 characters 

Dah lama diri ini tidak menulis di sini. Bukanlah kerana apa, cuma tidak kena dengan situasi. Bukan situasi semasa, tapi situasi diri sendiri. Ilham penulisan tidak datang pada siang hari, tapi hanyalah pada waktu menjelang pagi. Emosi dan suasana hati harus ditepati, jika tidak gaya penulisan pun basi. Jadilah blog untuk diri sendiri. Lebih baik permisi hanya dibuka untuk tuan punyi diri. Baca-baca, gelak dan ketawa sendiri. Lama-lama hati pun mati. Jadi harap-haraplah yang membaca pun mengerti. Penulis pun tidak tahu mengapa ayat-ayat ini disusun menjadi sebuah sajak tanpa disedari. Jadi kalau dah sedar dari tidur seelok-eloknya berhenti.

Apalah yang hendak ditulis pada kali ini? Hanyalah tentang nilai ungkapan sama ada yang dilahirkan dari mulut mahupun jari. Tidak ditujukan khas kepada sesiapa melainkan hanya yang mengeluarkan persoalan begini. Minta maaf, terbuat lagi walaupun dah dikatakan sedar di perenggan atas tadi.

Sebenarnya ini hanyalah luahan hati penulis. Pencarian jawapan yang masih tidak bertemukan akan penyelesaian yang terbaik. Jika diberikan tips dan pedoman maka adalah lebih baik bagi diri ini. Tetapi diri ini tahu permintaan itu amatlah besar, kerana siapa sahaja yang berminat untuk membaca penulisan panjang lebar tanpa sebarang gambar? Lihat sahaja sudah termuntah, apatah lagi membina kesabaran untuk meneliti dan membaca. Persoalan itu mudah, namun jawapannya yang sukar ditentukan. Mereka yang pernah bertanya dan tidak lupa juga yang ‘dipaksa’ mendengar, pastinya pernah berdesing di telinga masing-masing bagaimana penulis sibuk menceritakan walaupun tahu tiada seorang yang ambil pusing tentang bagaimana diri ini pernah melalui satu titik perubahan mendadak pada suatu ketika dulu. Yang selalu diutarakan adalah sebab-sebabnya, tetapi halangan dan masalah-masalah yang timbul sama ada ketika atau selepas, kalau ada diceritakan pun tersangatlah kurang. Bagi yang tak tahu mahupun yang dah lupa akan sebab musabab tersebut, maka rujuklah posting-posting yang terdahulu. Tidak berminat menceritakan sesuatu perkara berulang-ulang kali, walaupun hanya perlu ‘potong dan tampal’.

Sudah masuk perenggan keempat persoalannya masih tidak kelihatan pun? Mungkin, tapi ideanya telah diutarakan pada perenggan yang kedua. Cuma diri ini mempunyai dua cara dalam penyampaian sesuatu, sama ada secara terus mahupun secara pinangan orang terdahulu. Kedua-dua cara ini juga menjadi  pemboleh ubah dalam mencari penyelesaian masalah yang penulis usulkan. Maka apakah sebenarnya persoalan tersebut? Itulah pentingnya apa yang ditulis pada perenggan ketiga. Biarlah dijelaskan dengan lebih lanjut dibawah ini;

Diri ini selalu dalam dilema bagi mengeluarkan ayat dalam perbualan seharian. Kerana apa? Kerana perubahan mendadak yang disebutkan di atas tadi. Apakah sebenarnya yang menjadi masalah dalam perubahan diri tersebut? Kerana ianya berlaku secara mendadak. Memang tidak dinafikan perubahan itu membawa kebaikan, tetapi disebabkan terlalu cepat maka pasti ada kesan sampingannya. Dari segi perubatan pun ubat yang mujarab hanya membawa kebaikan jika ianya bertindak balas selepas beberapa ketika, ubat yang bertindak dengan cepat biasanya akan membawa mudarat kepada pengguna.

Salah satu perubahan tersebut itu ialah daripada pendiam menjadi orang yang tidak tahu diam. Dalam percakapan pula ada yang terus menuju tepat dan ada yang berputar-putar dahulu, tetapi destinasi ayat tetap sama. Lihat pula pada topik perbualan, kasual ataupun secara ilmiah? Tidak menjadi masalah bagi diri ini jika diajak berbual mahupun berdebat secara ilmiah, kerana berbicara tentang sesuatu ilmu memerlukan pemikiran secara terperinci. Apabila pemerincian telah dibuat maka cara ianya diterjemahkan juga lebih molek, lebih membina dari menyakitkan. Masalah bagi diri ini apabila dalam konteks perbualan kasual, kerana kadang-kadang percakapan seperti ini menyebabkan kita tidak berfikir. Apabila ingin menghangatkan perbualan maka haruslah ditambah perencah yang bermacam-macam rasa, tetapi selalu terlupa tidak semua dari kita yang suka makan ikan 3 rasa. Dalam penulisan juga berbahaya, hati kita mahukan yang lain tapi lain pula yang diterjemahkan si tukang baca. Adus. Sebab itu isu yang sensitif dan boleh membawa salah faham maka penulis lebih suka berkata secara berhadapan. Ingatlah ya, seindah mana ayat dalam mana-mana penulisan tidak semestinya emosi dan intonasi kita dapat disampaikan dengan baik. Yang kita anggap gurauan biasa dianggap kutukan berbisa.

Dilema, dilema. Pada mereka yang membaca posting pada kali ini, apakah pilihan kamu jika hanya dihadapkan dengan  situasi dan penyelesaian seperti di bawah? :-

---------------------------------------

Kamu bukanlah seorang yang boleh mengeluarkan pendapat yang menarik secara spontan mengenai topik-topik kasual tanpa memikirkan implikasinya secara mendalam terlebih dahulu, apakah pendekatan yang akan kamu ambil?

  • Fikir dahulu sebelum berbicara, demi menjaga hati dan perasaan orang lain, atau;
  • Mengeluarkan ayat tanpa berfikir panjang demi menjadikan perbualan lebih menarik, atau;
  • Diam dan dengar sahaja, mengambil jalan tengah tidak menyokong atau menolak mana-mana pendapat.

Implikasi dan kesan yang mungkin timbul, dijawab mengikut urutan seperti di atas :-

  • Pendekatan kamu akan menjadi sangat lambat, membuatkan perbualan kamu menjadi hambar jika tidak dapat memberikan respon yang pantas
  • Kebarangkalian untuk menyakiti hati pihak satu lagi amatlah tinggi, perbualan kamu menjadi sangat berisiko
  • ‘Grey area’, berkemungkinan dianggap tidak berpendirian dan tidak menarik

---------------------------------------

Pendekatan diri ini selalu berubah-ubah, bukan hanya mengikut situasi tetapi kadang-kadang terpengaruh dek emosi. Kadang-kadang apabila rasa malas nak melayan, maka pendekatan ketiga selalu digunakan. Pendekatan pertama biasanya untuk mereka yang tidak begitu rapat, ataupun yang sudah lama terpisah. Pendekatan kedualah biasanya yang terkeluar, tak percaya buatlah kajian berapa ramai sudah panas hati. Yang mentafsir sebagai ‘gila-gila’, maksudnya sudah lali menerima. Tetapi selalu mengingatkan diri ini; menerima tidak semestinya ianya betul, ramai juga yang menerima kerana terpaksa.

Konklusi? Nilai sepatah ayat itu pasti berbeza kepada penyampai dan penerima. Berhati-hatilah semasa berkata-kata.

Sedar tak sedar nombor ‘empat’ telah muncul di skrin komputer menunjukkan sudah hampir tiba dinihari.. Seolah-olah boleh tidur lajak hari ini. Macam tak sedar ada peristiwa penting bakal menjelma sekejap lagi. Apa-apapun rasanya cukup setakat ini, selebihnya untuk lain kali. Sekali lagi, minta maaf tak sengaja menulis begini. Sekian, jumpa di penulisan berikutnya nanti. Salam.

No comments: